Setiap pekerja diberikan ruang kerja masing-masing dan ia bertujuan agar dapat memberikan fokus maksimum terhadap tugasan yang harus diselesaikan. Sebaliknya ia bukan bermakna anda boleh melakukan apa sahaja sesuka hati tanpa memikirkan keselesaan 'jiran sebelah' dan orang sekeliling. Jangan pentingkan diri sendiri dan cuba hormati hak teman-teman sekerja lain. Mungkin tip ini boleh diamalkan agar tiada yang berasa geram dengan kelakuan anda.
1. Kawal Nada Suara
Tidak kira sama ada ketika berbual mahu pun bercakap ditelefon, kawal nada suara agar tidak
terlalu kuat sehingga menganggu kosentrasi teman sekerja yang lain.
2. Bukan Tempat Perbincangan Hal Peribadi
Pejabat ialah tempat mencari rezeki dan bukan tempat yang sesuai untuk membincangkan soal
peribadi. Jika terdesak untuk menceritakannya, carilah tempat yang sesuai kerana ruang kerja anda
tidak menjanjikan privasi. Sesiapa sahaja boleh terdengar dan tidak mustahil ia akan menjadi cerita
hangat keesokan harinya.
3. Bawa Bersama Telefon Bimbit
Zaman kini, terdapat pelbagai nada dering telefon yang menjadi pilihan. Ada yang berentak
perlahan dan ada juga yang membingitkan telinga. Kerana itu, anda harus membawa telefon bimbit
ke mana sahaja anda pergi. Jika ditinggalkan dan panggilan masuk tanpa henti, ia akan
membuatkan teman sekerja lain berasa meluat disebabkan gangguan bunyi masuk bising berkenaan.
4. Kurangkan Panggilan Peribadi
Tidak dinafikan berbual dengan si dia mahu pun teman merupakan hal peribadi. Namun ia akan jadi
sebaliknya jika teman-teman sekeliling dapat mendengar perbualan anda denga jelas. Bukan niat
untuk menyibuk tetapi terpaksa mendengar dek ruang kerja yang berdekatan. Ia akan bertambah
menyakitkan hati jika anda bertengkar di talian. Walau apa pun masalah anda, usah seret teman
sekerja sekali dalam hal itu.
5. Usah Banyak Tanya
Sesetengah orang tidak peduli dengan kesibukan orang lain kerana apa yang dia tahu, dia mahu
dilayan secepat mungkin. Dalam hal ini, kita harus melihatkan pada situasi jika mahu bertanya mahu
pun mendapatkan bantuan daripada teman lain. Mungkin pada ketika itu dia sedang sibuk dan tidak
mempunyai masa untuk melayan anda. Jadi hormatilah dengan bertanya kembali apabila kerjanya
sudah selesai atau pun merujuk pada teman yang lain pula.
6. Usah Gopoh
Jika anda sedang melihat teman sedang bercakap di talian, jangan terlalu mencuba untuk bertanya
itu dan ini dengannya. Seeloknya, tunggulah sehingga dia selesai dan meletakkan gagang telefon.
Usah beri pelbagai isyarat kerana ia akan mengganggu perbualannya dan mungkin akan
menyebabkan orang di talian berasa kurang senang. Usah tergopoh-gopoh dan tunggulah masa yang
sesuai dan pastinya anda akan dilayan sebaik mungkin.
(Dipetik dari Majalah Seri Dewi & Keluarga, November 2010)