Kisah ini berlaku hampir 3 tahun yang lepas, aku sekadar ingin berkongsi cerita tentang perjalanan hidupku bergelar guru Pendidikan Khas. Pada mulanya aku dilatih oleh sebuah universiti tempatan untuk bergelar guru ekonomi, memandangkan pada masa tersebut kekurangan guru pakar dalam bidang Pendidikan Khas kami telah dipostingkan atas tiket Pendidikan Khas. Mahu tidak mahu aku terima juga memandangkan diriku telah lama menganggur pada masa itu. Bayangkan bidang yang aku ambil di Universiti lari agak jauh dengan Pendidikan Khas. Aku pun pergi juga melaporkan diri ke Manjung Perak dengan berat hati sambil memikirkan anak yang terpaksa ditinggalkan di Taiping (tempat lahirku) dengan ibu dan abah.
Sesampai saja di sana, aku dan suami mencari rumah sewa untuk menetap, setelah puas mencari akhirnya aku dapat juga rumah yang dicari walaupun agak mahal RM400 sebulan. Memandangkan harganya yang mahal, aku mempelawa kawan satu kelasku semasa di universiti tingal bersamaku bagi menampung sewa rumah yang agak tinggi juga harganya. Pada hari yang dinantikan, tibalah masanya aku melapor diri di sekolah baruku, aku jadi mati kutu kerana pelajarku adalah murid bermasalah down sindrom, autisme, epilepsi, spastik dan pelbagai kecacatan lagi.....aku hilang akal, bagaimana aku nak mengajar murid-murid ni...nak ajar apa? Ya Allah!...hanya Tuhan saja yang tahu apa yang aku rasa ketika itu. Aku tidak boleh terima hakikat yang aku mengajar Pendidikan Khas...yang aku tahu ketika itu menangis dan menangis..nak balik duduk dengan suami di Perlis.....apa yang terkeluar dari mulutku hanya nak tukar option. Selama dua minggu di sekolah aku mati kutu dan hilang punca tak tahu bagaimana hendak bermula p&p ku...ditambah pula aku diarahkan untuk mengajar pula subjek Pendidikan Islam. Ya Allah!...lagi terkejut beruklah aku dibuatnya. Melihat guru-guru yang mati kutu ini, akhirnya kami diserapkan ke IPG Ipoh selama 3 bulan sebagai Kursus Dalam Perkhidmatan bagi mendalami ilmu Pendidikan Khas. Terlalu banyak pengalaman yang aku pelajari....dan kami sering diperingatkan oleh tenaga pengajar agar menukar persepsi untuk tidak memandang rendah dunia Pendidikan Khas. Aku masih ingat lagi kata-kata pensyarahku itu, kalau tak silap berbunyi begini...
"Cikgu, Cikgu tak payahlah berlagaklah dengan degree yang cikgu ada...geli dengan budaklah konon...kalau Tuhan tu nak tarik nikmat cikgu-cikgu mudah je, keluar je dari kelas ni..jatuh longkang dah dapat lesen OKU...".
"Cikgu, janganlah pandang hina anak-anak kita ini...Tuhan kalau nak bagi tak payah tunggu lama..kawin je dia bagi dah anak OKU...." Ya Allah!...menginsafkan betul...terpukul sekejap dengan kata-kata itu.
Sinis aje bunyinya tapi maknanya yang begitu mendalam dan menyedarkan diriku. Bermula dari situlah aku berazam bila pulang saja dari Maktab, aku akan menjadi guru Pendidikan Khas yang baik. Selepas tamat tempoh kursusku...aku pun pulang semula ke sekolah dan menjalani pula latihan praktikum selama tiga bulan. Guru pembimbingku ketika itu ialah Puan Rosiah atau aku panggilnya mama....dia merupakan guru cemerlang dan punyai ilmu yang sangat tinggi dalam pendidikan khas....aku banyak belajar darinya dan tak malu bertanya malah sentiasa menerima tegurannya dengan tangan terbuka. Aku tidak tahu bila bermulanya sayangku pada anak-anak muridku...pantang di jentik aku akan mula backing mereka. Malah jiwaku semakin sensitif bila anak-anak muridku dipandang hina oleh masyarakat....Agak lama juga aku berada di Manjung, akhirnya aku bertukar ke utara tanah air mengikut suamiku...hampir setahun setengah juga kami duduk berasingan dan akhirnya kami kembali bersama dalam satu keluarga...Barulah aku rasakan diriku lengkap dengan seorang suami disisi.
Di Perlis aku ditempatkan di SMK Arau....hari pertamaku dengan senyuman megah dibibir kerana jiwaku sudah 100% lengkap memandangkan aku sudah punyai keluarga disisi....semuanya indah, mengajar pun dengan hati yang tenang...periuk nasi sudah menjadi satu dan anak-anak ada disisi. Ya Allah! besar sungguh kurniaanmu....hanya manusia itu perlukan kesabaran dan setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya....murid-murid di sekolah baruku tidaklah mempunyai kecacatan yang ketara seperti sekolah lamaku....murid-muridnya lebih berdikari. Pelbagai karenah harus ditangani setiap hari sebagai guru pendidikan khas. Orang luar mungkin merasakan mudahnya guru mengajar...tidak perlu aras yang tinggi, tidak perlukan persiapan ilmu yang lengkap untuk mengajar dan sebagainya...tetapi mereka tidak tahu betapa tingginya tahap kesabaran guru itu untuk mendidik mereka-mereka ini....kepuasan mengajar hanyalah dapat dicapai apabila murid itu menguasai kemahiran yang diajar...
No comments:
Post a Comment